BINTULU: Sarawak menempa satu lagi sejarah hari ini dengan pelancaran pengeksportan sebanyak 20,000 tan metrik metanol dari Kompleks Metanol Sarawak Petchem di Tanjung Kidurong.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, impian Sarawak sejak empat tahun lepas untuk menghasilkan metanol menjadi realiti selepas operasi pengeluaran bahan bakar itu dimulakan pada Januari tahun lalu.
"Pada hari ini, kita semua menyaksikan pelepasan dua kapal kargo dari perairan negara menuju ke China yang mana masing-masingnya membawa muatan 10,000 tan metrik metanol yang dihasilkan di Bintulu," ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Pelepasan Kargo Eksport Metanol Sarawak Petchem Sdn Bhd (Sarawak Petchem) dan Majlis Pecah Tanah Projek Metanol Hijau di Hab Petrokimia Bintulu di Tanjung Kidurong di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Menteri Pengangkutan Dato Sri Lee Kim Shin, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi, Speaker DUN Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar dan tetamu kehormat lain.
Abang Johari berkata, meskipun peringkat awal pelaksanaan projek itu menghadapi beberapa masalah, namun ia dapat diselesaikan secara baik sehingga membuahkan hasil sebagaimana yang dapat dilihat pada masa sekarang.
"Petchem secara amnya dimulakan oleh anak jati negeri ini yang menaruh kepercayaan dan keyakinan terhadap kepakaran anak Sarawak sendiri.
"Ini telah merealisikan impian Sarawak untuk mempunyai kilang sekali gus mengeluarkan metanolnya sendiri," jelas Abang Johari.
Beliau turut menyifatkan kejayaan Sarawak menghasilkan metanol sendiri sebagai tepat pada masanya.
"Selepas lapan tahun berkhidmat sebagai Premier Sarawak, saya dapat menyaksikan sendiri pelepasan kapal kargo yang membawa muatan metanol pertama dari negeri ini pada hari pertama saya menyandang jawatan sebagai Premier Sarawak yang kesembilan tahun hari ini," jelasnya dengan bangga.
Abang Johari berkata, Petchem mencatatkan satu lagi kejayaan apabila memulakan penghasilan metanol hijau yang pertama hari ini, susulan kejayaan projek pertama metanol itu.
"Sebagaimana semua maklum, industri penghasilan metanol hijau ini mempunyai potensi yang cerah bagi membolehkan Sarawak melibatkan diri dalam industri aeroangkasa serta industri hiliran berkaitan yang lain pada masa hadapan.
"Justeru, kunjungan Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan ke Jepun baru-baru ini telah mencapai kata sepakat antara kedua-dua negara bagi memajukan industri tenaga hijau yang mana Sarawak akan menjadi hab bagi pelaksanaannya," tambah beliau.